Thursday, August 11, 2011

SYUKUR DAN SABAR?


Dalam kesibukan diri melayari bahtera kehidupan ini, banyak dugaan dan cabaran yang kita temui, mungkin ada cabaran yang berjaya kita harungi, dan ada yang sebaliknya.
Cuma hakikatnya, kita sebagai manusia memang tidak lepas dari menghadapi dugaan ini.
Para ulama' dan ahli ibadah zaman dahulu mengklasifikasikan ujian yang diterima oleh seseorang itu adalah mahar yang akan dijadikan saksi ketika hari yang tiada saksi melainkan amalan yang soleh, ia juga dianggap sebagai sebuah nikmat kerana bagi mereka Allah masih menerima amalan dan masih melihat mereka.
Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?                                                                                       
Sifat Syukur
Syukur adalah satu sifat yang sangat penting di dalam diri seseorang.
Tanpa syukur, seorang manusia itu akan lupa daratan dan sentiasa merasakan diri merekalah yang sebenarnya sempurna dan berkuasa.
Lihat sahaja kepada contoh golongan yang tidak bersyukur yang telah dinukilkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran sebagai iktibar kepada hamba-Nya.
Firaun Dan Pengikutnya
Firaun adalah seorang raja yang telah diberikan keistimewaan oleh Allah S.W.T dengan tidak pernah jatuh sakit sepanjang hidupnya. Di samping itu juga, dia diberikan sebuah kerajaan yang sagat besar dan kuat iaitu kerajaan Mesir ketika itu.
Tetapi malangnya, Firaun menjadi sombong dan lupa diri.
Oleh kerana keistimewaanya itu, dia merasakan dirinya adalah Tuhan yang patut disembah - dia menyuruh seluruh rakyatnya menyembah dirinya.
Sehinggakan Allah S.W.T mengutuskan Nabi Musa a.s. untuk menjadi petunjuk ke atas rakyat yang telah dizalimi tadi.
Allah S.W.T juga memberi balasan yang setimpal ke atas perbuatan angkuh Firaun itu dengan menenggelamkan dia di Laut Merah sewaktu cuba membunuh Nabi Musa a.s.
Begitu juga yang terjadi ke atas Haman; perdana menteri yang dilantik ketika pemerintahan Firaun.
Dia banyak menghabiskan duit rakyat dan sentiasa mengampu Firaun dengan kata-kata manis untuk mengekalkan kedudukannya selaku perdana menteri; orang yang kedua tertinggi dalam kerajaan Firaun laknatullah.
Kisah Raja Namrud
Raja Namrud juga salah satu contoh manusia yang tidak bersyukur atas pemberian Ilahi, bukan sahaja bersifat angkuh tetapi dia mahu membakarnya hidup-hidup Nabi Ibrahim a.s. yang diutuskan oleh Allah ke atas kaum mereka.
Namun dengan sifat kasih sayang Allah S.W.T, api yang sepatutnya bersifat panas dan membakar menjadi dingin dan selamat untuk Nabi Ibrahim a.s. dan Namrud pula akhirnya dimusnahkan dengan dihantar seekor nyamuk yang masuk ke dalam kepalanya untuk memakan otaknya.
Manusia Yang Paling Sabar
Nabi Ayub dikurniakan kesempurnaan kehidupan oleh Allah S.W.T. Baginda dikurniakan harta yang banyak dan keluarga yang bahagia, tetapi kuasa Allah S.W.T lebih hebat apabila menguji baginda dengan menarik sedikit demi sedikit nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada Nabi Ayub.
Ia bermula dengan harta yang semakin berkurangan, anak-anak yang meninggal dunia dan seterusnya dengan penyakit sopak yang menjijikkan.
Mengenai pelbagai ujian itu Allah S.W.T berfirman, maksudnya:
"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, 'Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali'."
Walaupun diuji dangan begitu hebat sekali, beliau masih tetap percaya Allah S.W.T ada menyelitkan hikmah di sebalik kedukaan ujian yang melandanya.
Akhirnya dengan sifat kesempurnaan Allah, segala ujian yang diberikan digantikan semula dengan kegembiraan dan Nabi Ayub a.s dinaikkan darjat sebagai orang yang bersabar di atas ujian yang menimpa.
Jesteru ayuh sahabat sekalian, majulah dalam menempuh ujian hidup ini kerana ada sesuatu yang manis sedang menunggu kita.
Ingatkan teman yang lain dan ingatkan diri kita sendiri.
Moga Allah memberi taufiq ke atas diri kita dan dikurniakan kejayaan di atas amalan yang dilakukan.
"Ya Allah jangan Kau uji kami dangan ujian yang tidak tertanggung oleh kami, sesungguhnya kami hamba-Mu yang daif dan lemah."
"Tanpa keberanian, mimpi takkan bermakna."
"Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan.
Kamu tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan kamu sampai kamu melupakan kegagalan kamu dan rasa sakit hati."
( ARTIKEL DARI I LUV ISLAM)

sharing is caring :)

3 comments:

~free application..menarikkan?..free application~